Malaysia Diberikan Sebuah Planet Dan Bintang Untuk Dinamakan

KUALA LUMPUR – Pelajar sekolah berpeluang untuk menggunakan kreativiti mereka menamakan sebutir bintang dan sebuah planet, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-100 Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).

Terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, ia akan menjadi satu peluang kepada pelajar terbabit mengembangkan pengetahuan sains mereka.

“Kami berharap para pelajar di Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk mencadangkan satu nama Malaysia untuk sebuah planet yang terletak di luar sistem solar kita,” katanya di Planetarium Negara di sini hari ini.

Pertandingan itu yang dijangka berlangsung dari 1 Julai sehingga 30 Ogos itu, dianjurkan secara bersama oleh Planetarium Negara dan sebuah badan bukan kerajaan, ApaDilangit.

Dilaporkan banyak negara telahpun menganjurkan kempen peringkat kebangsaan untuk masyarakat menyumbang idea dan mengundi untuk menetapkan nama untuk di hantarkan ke projek IAU100 NameExoWorld.

Inisiatif ini melihat Malaysia telah diberikan sebuah planet dan sebutir bintang di pusat orbitnya untuk dinamakan. – BERNAMA