Makan Nasi Berlauk Garam, Ibu ‘Tebal Muka’ Minta Telur Ayam Jiran Untuk Anak2

Bukan semua individu dapat menikmati pelbagai juadah pada bulan puasa ini. Bagi golongan yang kurang bernasib baik, keluarga mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Bagi Marsyila Zakaria, kehidupan ibu kepada tujuh anak ini sama seperti tahun sebelum ini apabila mereka pernah berkongsi nasi berlaukkan garam selama tiga hari setelah suaminya ditahan di Pusat Pemulihan.

Menerusi laporan Malaysia Gazette, wanita berusia 35 tahun itu terpaksa menebal muka untuk meminta beberapa biji telur daripada jiran bagi menukar selera anak-anaknya.

“Saya bukan jenis meminta dan bersyukur kerana ada jiran yang hulur bantuan. Saya akan mencari kerja dahulu dengan kudrat yang ada namun pernah sampai satu ketika memang kami terputus bekalan makanan.

“Saya beri anak-anak makan nasi berlaukkan garam selama tiga hari dan pernah jadikan garam sebagai sup sehingga saya tidak sanggup lagi..

“…dan pergi ketuk rumah jiran untuk minta telur yang goreng hancur-hancur untuk digaul dengan nasi dan sedikit garam untuk ubah selera mereka,” katanya.

Walaupun bekerja sebagai pencuci pakaian yang dihantar pelanggan di rumahnya dengan bayaran RM5 sebakul, namun pendapatan itu tidak cukup untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

Marsyila yang ditemubual di PPR Tun Razak Bandar Tasik Selatan itu mempunyai anak berusia antara setahun hingga 15 tahun.

Lebih perit apabila anak ketiga (sudah meninggal dunia) dan keempatnya merupakan dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

“Alhamdulillah, anak-anak saya jenis faham dan tidak meminta makan yang sedap. Pernah susu anak habis, saya bancuh susu pekat untuk diberikan kepada mereka.

“Sebenarnya, kos perbelanjaan saya mencecah RM1,500 sebulan kerana lima anak masih minum susu dan memakai lampin pakai buang serta kos anak OKU yang tinggi,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini, boleh menghubungi talian 011-60684586 atau menghulur wang di nombor akaun Bank Islam – 14256020003529 atas nama Marsyila Zakaria. 

Sumber : Malaysia Gazette via https://www.ohmymedia.cc