Mahathir Dilantik Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi yang ditubuhkan untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Pengumuman pelantikan dan penubuhan majlis yang dianggotai seramai 16 orang ahli itu dibuat dalam satu kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, sekretariat bagi majlis tersebut adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri dan pelantikan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, matlamat utama Majlis Tindakan Ekonomi adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan yang saksama dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang mereka hadapi khususnya dalam bidang ekonomi.

“Majlis ini juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah,” katanya.

Majlis Tindakan Ekonomi dianggotai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Turut tersenarai sebagai ahli majlis ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid.

Selain itu, Tan Sri Rafidah Aziz yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersenarai sebagai ahli majlis.

Majlis itu juga dianggotai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Dr. Hasnita Hashim dan Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.

Ahli-ahli lain termasuklah Pengerusi Asean Business Advisory Council, Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. Paul Selvaraj, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut MASA, Nizam Mahshar dan peguam, Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah.

Sumber: Kosmo Online