Lelaki Periksa Kereta Polis Direman 3 Hari

TIGA lelaki yang ditahan kerana memeriksa kereta peronda polis (MPV) di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, kelmarin, direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban bermula hari ini sehingga Rabu.

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia 36 hingga 50 tahun disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Menurutnya, suspek bekerja sebagai penjual kereta, pemandu lori dan peniaga ayam ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang semalam di tiga lokasi berasingan.

“Tiga suspek sudah dicekup dan kami masih memburu dua lagi yang masih bebas,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan mahkamah jam 8.30 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna jingga dan bergari.

Harian Metro hari ini melaporkan Mohamad menyatakan kekesalan terhadap tindakan lima penyokong sebuah parti yang memeriksa kenderaan polis sebaik mereka mendakwa MPV itu membawa lebihan kertas undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kelmarin.

Katanya, tindakan suspek sangat melampau, mencabar tugas polis dan menunjukkan seolah-olah mereka lebih berkuasa.

Sumber: Harian Metro