Ketua Hakim, Peguam Negara Digesa Letak Jawatan – Zaharuddin

KUALA LUMPUR – Institusi Kehakiman dan sistem keadilan negara dilihat tercemar dan diragui kredibilitinya selepas satu rakaman klip video Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas sedang rancak menari tular di media sosial semalam.

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, perlakuan itu jelas menunjukkan kelemahan Emotional Quotient (EQ) iaitu kepintaran dan kemampuan untuk mengenalpasti, menganalisa dan mengawal emosi (ability to identify, assess, and control the emotions of oneself) bagi kedua-dua mereka.

“Naiknya mereka atas pentas menunjukkan kurangnya kekecekapan mereka dalam menilai situasi, fakta dan elemen bermasalah di depan mata, lemah membaca persepsi, lemah dalam menilai risiko tindakan, itu akhirnya merendahkan kredebiliti insititusi kehakiman dan perundangan yang dipegang oleh mereka.

“Jika itu pun gagal untuk dikenalpasti, bagaimana mungkin mereka cekap dalam menegakkan keadilan bagi negara dan teliti dalam semakan dan analisa setiap baris ayat dalam dokumen perundangan dan barang bukti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi membidas tindakan Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) yang mempertahankan tindakan beberapa personaliti kehakiman dan perundangan negara yang menari di pentas program anjuran mereka kelmarin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan acara yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan peguam dan aktivis kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim.

Sumber: Kosmo Online