Kesan Merah Di Kepala Aliff Jadi Tanda Tanya

KUALA LUMPUR: Kehadiran Aliff Aziz, ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi kes perceraiannya, hari ini, menjadi perhatian netizen apabila penyanyi dan pelakon itu tampil dengan imej botak bersama kesan luka di kepala.

Tampil berkemeja dan berseluar hitam, rakaman video artis sensasi terbabit berpelukan dengan bekas mentuanya selepas prosiding lafaz cerai tular di media sosial.

Dalam video berkenaan berserta fotonya di sekitar mahkamah terbabit, jelas kelihatan kesan kemerahan-merahan pada kepala penyanyi berusia 28 tahun itu.

Rata-rata netizen mempersoalkan mengenai kesan seperti pukulan pada kepalanya, namun tiada kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan daripada selebriti kelahiran Singapura itu.

Ketika masing-masing mengutarakan pendapat sendiri, ada sumber memaklumkan, Aliff sebenarnya sedang menjalani rawatan rambut.

Justeru, ada yang mempersoalkan, saat dirinya berdepan kontroversi curang, lelaki itu masih sempat meluangkan masa untuk memperbaiki imej atau penampilan diri.

Sementara itu, pelakon drama Halalkan Hati Yang Ku Curi itu sah bercerai dengan bekas isteri, Bella Astillah atau nama penuhnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah, 25, petang tadi.

Terdahulu, selain dikaitkan dengan pelakon baharu, Oktovia Manrose, dan seorang gadis seksi bertindik, Aliff juga terpalit kontroversi pada Julai 2017 bersama adik Anzalna Nasir, Afifah.

Bagaimanapun, Bella memaafkan perbuatan bekas suaminya itu hingga tercetus kejadian terbaru, sekitar Februari lalu.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang putera, Ayden, yang kini berusia dua tahun. – Berita Harian