Kes Tembakan Rambang Di Christchurch: Kami Masih Mencari Haziq, Ketika Kejadian Dia Dalam Masjid

KUALA LUMPUR – “Kami masih mencari Haziq. Kami tidak tahu ketika ini dia di mana. Apa yang kami tahu, ketika kejadian dia di dalam masjid”.

Demikian kata sumber Sinar Harian ketika dihubungi bagi mendapatkan situasi terkini kejadian tembakan selepas solat Jumaat di sebuah Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian Haziq, 17 tahun, bersama adiknya, Hariz dan bapa, Mohd Tarmizi Shuib berada di dalam masjid.

Sementara ibu, kakak dan seorang kenalan wanita mereka, warga Singapura turut solat di masjid berkenaan.

Katanya, ketika tembakan berlaku, ibu, kakak dan kenalan mereka bersembunyi di dalam tandas.

“Tarmizi dan Hariz berlari keluar. Hariz selamat tetapi Tarmizi ditembak di bahagian belakang. Haziq pula tidak dapat dipastikan. Apa yang saya tahu, tiga beranak itu berada di dalam masjid.

“Kami sedang mencari Haziq di kawasan sekitar dan di hospital yang merawat mangsa tembakan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ketika kejadian juga, terdapat dua lagi lelaki warga Malaysia dikenali Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

“Mereka juga di dalam masjid. Hazril mengalamni kecederaan serius. Ketika kejadian, Rahimi berpura-pura mati namun tetap cedera ditembak,” katanya.

Setakat ini, seorang rakyat Malaysia disahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Welington menjadi mangsa dalam insiden berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengesahkan perkara tersebut menerusi Twitter beliau.

Malah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington juga sedang mendapatkan perincian kejadian tersebut daripada pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, sumber itu berharap rakyat Malaysia mendokan keselamatan mangsa-mangsa terlibat.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan sekurang-kurangnya, 40 orang terkorban dalam kejadian itu.

Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai serangan pengganas.

Sumber: Sinar Harian