Kes Pukul Pengawal Keselamatan, Lan Pet Pet Mengaku Bersalah – Didenda RM2,000

PELAKON dan pelawak, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet telah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Hukuman itu dibuat selepas Lan Pet Pet mengaku bersalah memukul seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai pada 6 April lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, hukuman dijatuhkan sebaik pelawak berasal dari Kedah itu mengaku salah di atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Jelas Mohd Nor, kes berkenaan juga dianggap selesai kerana pelakon ini sudah dihadapkan di mahkamah dan didenda.

Pada yang tidak mengikuti perkembangan isu ini, pada 7 April lalu seorang pengawal keselamatan berusia 70 tahun cedera diperlakukan pelawak terbabit di perkarangan pondok pengawal di taman perumahan Acacia Park Desa Jati, Nilai.

Polis kemudian bertindak menahan pelawak berkenaan pada hari sama tetapi dibebaskan dengan jaminan polis.

Sumber: Astro Awani