Kes Bunuh Siti Kharina: Suspek Utama Warga Nigeria Didakwa Esok

KUALA LUMPUR: Suspek lelaki warganegara Nigeria, 36 tahun, yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Kamarudin akan didakwa esok (Isnin).

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat, suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Sepang pada jam 8.30 pagi dan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, katanya dua lagi suspek, seorang wanita warganegara Nigeria dan seorang warganegara Pakistan akan dibebaskan dengan Bon Mahkamah.
“Dua lagi suspek wanita warga Nigeria, 35, dan lelaki warga Pakistan, 38, akan dibebaskan dengan Bon Mahkamah.

“Bon akan disempurnakan pada tarikh dan mahkamah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala pada 15 Mei.

Sumber: Astro Awani