Kerja Pembersihan Sungai Kim Kim Akibat Pencemaran Toksik Selesai

PASIR GUDANG 17 Mac: Kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim di sini yang tercemar akibat pencemaran toksik seluas 1.5 kilometer sudah selesai hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, bagaimanapun, pihak yang terlibat akan terus melakukan pemantauan yang diperlukan.

“Secara keseluruhannya proses pembersihan sudah siap dan hari ini kita nak tengok sama ada terdapat lagi tempat yang nak dibersihkan atau tidak, kita perlu pantau.

“Hari ini kita boleh kata sebagai hari pemantauan dan selepas itu baru kita akan lihat apakah langkah seterusnya yang kita boleh buat,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, bermula hari ini, pihaknya akan menggerakkan 30 pasukan untuk memantau kualiti udara di 30 buah sekolah dalam lingkungan 5 hingga 9 kilometer daripada tempat kejadian di sekitar Pasir Gudang.

Tambahnya, pasukan itu terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia dan akan melakukan pemantauan secara keseluruhan sebelum memaklumkan keputusannya esok.

“Kita akan gunakan gas detector untuk kesan dan memantau kualiti udara dan kita akan dapatkan semua laporan untuk sehari esok bagi memastikan udara di kawasan terlibat keseluruhannya berada pada tahap selamat,” katanya.

Sumber: Utusan Online