Kerajaan saman suami dan anak-anak Shahrizat Jalil

JABATAN Peguam Negara (AGC) telah memfailkan saman ke atas syarikat National Feedlot Corp (NFC) dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya dalam usaha kerajaan  untuk mendapatkan semula pinjaman RM253 juta.

Mohamad Salleh merupakan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Saman berkenaan difailkan oleh AGC tiga minggu lalu, lapor The Edge pada Isnin.

Ketiga-tiga anak Mohamad Salleh dan Shahrizat yang juga bekas Ketua Wanita Umno yang dinamakan AGC ialah Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.

Sementara nama syarikat yang dinamakan ialah National Meat & Livestock Corp Sdn Bhd, Real Food Co Sdn Bhd, Meatworks Corp Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corp Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

The Edge turut melaporkan, dana yang dituntut kerajaan berdasarkan RM225 juta daripada pinjaman RM250 juta dengan faedah tahunan dua peratus.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas NFC dan keluarga Shahrizat meminta mereka membayar balik pinjaman berkenaan.

Pada 2011, anggota keluarga Shahrizat itu didedahkan terlibat dalam projek NFC oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Mohamad Salleh pula sebelum ini telah dituduh pecah amanah jenayah melibatkan RM49.7 juta sebelum dibebaskan pada 2015. – The Edge