Kerajaan Lulus Kenaikan Tambang Bas Tahun Baharu Cina

PETALING JAYA – Kerajaan telah memberi lampu hijau kepada pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang sebanyak 10 peratus pada hari-hari menjelang dan semasa Tahun Baharu Cina.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, pihaknya telah menerima makluman daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenai perkara itlu.

“Menurut makluman yang diterima, Kabinet telah bersetuju supaya tambang bas ekspres dinaikkan dari 1 Februari hingga 10 Februari.

“Ini bagi menampung perbelanjaan tambahan syarikat bas ekspres yang perlu membayar gaji dua atau tiga kali ganda kepada pekerja yang terdiri daripada pemandu, penjual tiket, konduktor, dan pekerja kaunter yang bekerja pada cuti, katanya kepada Sinchew Daily.

Kata Mohamad Ashfar lagi, pengusaha akan menambahkan kekerapan perjalanan mengikut kelulusan yang diberikan APAD.

“Pengguna diminta membeli tiket melalui laman web yang sah atau berkunjung ke kaunter bagi mengelak terbeli daripada ‘ulat’.

“Penumpang yang mengesan pemandu melanggar had laju atau memandu secara bahaya juga diminta menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau APAD,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Azmir Zain berkata, tiga syarikat penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo telah bersetuju menambah sejumlah 96 penerbangan domestik dari 30 Januari hingga 12 Februari untuk memenuhi permintaan yang tinggi pada musim cuti.

Sumber: MalaysiaGazette