Kerajaan Bercadang Akan Meminda Undang-undang Ke Atas Penggunaan Rokok Elektronik

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meminda undang-undang sedia ada untuk mengawal selia rokok elektronik atau vape dan shisha.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, undang-undang sedia ada hanya membabitkan kawalan produk yang mengandungi nikotin seperti rokok di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, tindakan tidak boleh dibuat ke atas penggunaan vape dan shisha memandangkan tidak ada peruntukan undang-undang yang mengawal melainkan ada unsur nikotin.

“Kita akan bentang usul ini di Parlimen untuk dibincangkan dalam masa terdekat selepas kita dapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara.

“Dengan adanya undang-undang ini nanti, kita boleh ambil tindakan terhadap penggunaan vape dan shisha ini,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kardiovaskular Perak di WEIL Hotel, di sini.

Sebelum ini KKM mengumumkan mulai 1 Januari 2019, kementerian akan mengisytiharkan semua restoran termasuk gerai dan warung di tepi jalan  di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok.

Sementara itu, mengenai kes difteria di Johor Bahru pula, Boon Chye berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat terperinci tentang perkara tersebut.

Katanya, walaupun kematian disebabkan difteria masih berlaku, kerajaan belum bercadang untuk mewajibkan pelalian bagi setiap kanak-kanak di negara ini.

“Difteria sepatutnya boleh dielak melalui pelalian. Kita bimbang ada dalam kalangan ibu bapa yang menganggap pelalian itu ada kesan sampingan tetapi kita ada kajian sainstifik membuktikan bahawa pelalian itu selamat.

“Setakat in tidak ada perancangan untuk mewajibkan pelalian cuma dalam sistem penyampaian kita apabila kanak-kanak dilahirkan semua hospital sama ada swasta atau kerajaan, semua akan diberikan kemudahan tersebut kecuali ibu bapa tidak memberi kebenaran, kita tidak paksa,” katanya.

Pada Rabu lalu, KKM mengesahkan seorang bayi perempuan berusia 14 bulan disahkan  meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *