Kepala Kanak-kanak Tersangkut Tudung Periuk

AMPANG – Seorang kanak-kanak lelaki menghadapi detik cemas apabila kepalanya tersangkut pada tudung periuk di kediamannya di Taman Ampang Indah di sini malam semalam.

Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba (PB) Kamalhairulnizam Kassim, pihaknya menerima panggilan daripada ibu mangsa menyatakan bahawa anaknya yang berusia enam tahun tersangkut tudung periuk ketika bermain sendirian di rumah mereka.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian dan setibanya di sana, anggota kami mendapati bahawa kepala mangsa tersangkut pada tudung periuk yang mempunyai lubang di tengah-tengahnya.

“Ibunya menghubungi pihak bomba setelah usaha untuk mengeluarkan tudung periuk itu daripada kepala anaknya gagal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Tambah Kamalhairulnizam, anggota bomba menanggalkan tudung periuk tersebut dengan cara mengguntingnya menggunakan gunting besi dan proses itu mengambil masa kira-kira 10 minit.

“Keadaan mangsa sedikit trauma tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setelah memastikan keadaan kembali normal, anggota bomba seterusnya pulang semula ke balai kira-kira pukul 9 malam,” ujarnya

Sumber: Kosmo Online