Kecewa Tiada Kekasih, Lelaki Ugut Bunuh Semua Wanita

UTAH: Seorang lelaki ditangkap selepas menyiarkan kenyataan dalam Facebook untuk membunuh ‘seberapa ramai gadis yang ditemui’ pada hujung minggu sama Perarakan Wanita diadakan di seluruh Amerika Syarikat.

Dokumen penjara yang difailkan polis di bandar raya Provo menyatakan, Christopher W Cleary, 27, marah kerana tidak pernah mempunyai teman wanita dan mahu ‘membetulkan keadaan itu’ dengan melepaskan tembakan.

Cleary berasal dari Denver dan dokumen menyatakan polis Colorado menghubungi pegawai di Provo Sabtu lalu.

Dia ditangkap kerana disyaki melakukan ancaman keganasan.

Dokumen menyatakan, penyiasat bimbang kerana perarakan diadakan pada hari berkenaan, walaupun kenyataan Cleary tidak menyatakan acara itu secara langsung. — Agensi