Kanak-kanak Perempuan Dirogol, Dicekik Hingga Mati Dan Dicampak Ke Longkang

BHOPAL: Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dipercayai dirogol ditemui berhampiran sebuah longkang di Madhya Pradesh, India pada hari Ahad.

Menurut pihak polis tempatan, kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat dicekik selepas diperkosa.

Polis memaklumkan, kanak-kanak perempuan tersebut keluar dari rumahnya di Kamla Nagar sekitar jam 8 malam Sabtu lalu untuk membeli gutkha, iaitu sejenis manisan.

Namun, dia dikatakan tidak pulang ke rumah beberapa jam selepas itu dan ahli keluarganya mula risau serta melaporkannya kepada pihak polis.

Pegawai polis, Akhil Patel memberitahu media tempatan bahawa laporan awal bedah siasat mendapati kanak-kanak perempuan itu mati akibat dicekik selepas dia dirogol.

“Kami sedang menunggu laporan terperinci. Kami telah mengenal pasti tertuduh dan pasukan polis sedang mengesan suspek,” katanya.

Ketua Inspektor daerah Bhopal, Yogesh Deshmukh memberitahu bahawa balai polis Kamla Nagar telah menerima aduan pada malam Sabtu tentang kehilangan kanak-kanak tersebut.

“Polis mencari mangsa pada malam itu, mayatnya ditemui kira-kira pukul 5 pagi hari ini,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa seorang anggota polis telah digantung tugas selepas ahli keluarga kanak-kanak tersebut mendakwa polis berkenaan tidak segera bertindak selepas aduan itu dibuat.

Ahli keluarga mangsa mendakwa kakitangan polis tiba di rumah mangsa agak lewat dan mereka lambat melakukan tindakan.

Sumber: Astro Awani