“Kalau Rasa Guru Tak Mampu Ajar Anak, Ibu Bapa Ajarlah Sendiri” – Cikgu Emmet

KEPADA ibu dan bapa yang terasa hati bila melihat anak-anak dihukum guru sampai berbirat peha dan lengan dengan kesan rotan, pergi ke sekolah. Marahlah guru itu, rakam wajah guru yang terlebih ajar anak kita, sumpah seranahlah, buat laporan pada PPD, JPN dan report polis.

Buatlah… Yelah anak anda anak orang bukan anak pokok pisang, mestilah sayangkan? Dari kecik kita jaga hingga sekolah menengah sukahati pulak cikgu nak merotan.

Marahlah guru guru itu. Malukan mereka dengan merakam wajah mereka. Just Do it, itu hak anda sebagai ibubapa.

Puas hatikan? Seronok bukan sebab berjaya mengajar guru-guru yang menghukum anak-anak kita.

Ok kalau ibubapa rasa tindakan itu membuatkan anda MENANG. Ye, anda dah menang tapi hal yang sebenarnya, anak anda yang KALAH dalam jangkamasa panjang.

Sebab lepas ni, guru-guru akan lepas tangan. Hanya mengajar tapi tidak mendidik. Hanya mengajar tapi tidak menegur. Buat apa kita tegur kalau lepas ni ibu bapa berang. Buat apa dirotan kalau lepas ni ibubapa yang meroyan.

Maka anak-anak anda yang BESAR KEPALA ini akan membawa haluan sendiri. Jika dia sesat, maka sesatlah.

Maafkan saya kalau ada ibu bapa yang berasa hati dengan tulisan saya.

Ibubapa yang dihormati,

ILMU ITU DIAJAR SEIRING DENGAN ADAB. Sebab itu orang yang berilmu adalah orang yang beradab. Orang yang beradab akan hormat pada sumber ilmu iaitu gurunya.

Jika murid memaki guru BABI, PONDAN dan kata-kata sumpahan, maka murid itu tiada adab. Kalau tiada adab maka tiada lah ilmu yang akan masuk ke jiwa dan minda. Maka jadilah anak-anak kita yang miskin adab budi dan moral. Anak anak ini bila dewasa kelak tak mustahil akan meninggalkan kita sendirian, akan jijik menjaga kita yang tua dan sakit sebab adab tiada dalam jiwa.

Saya pernah dimaki BABI hanya kerana pelajar tak setuju keputusan saya semasa mengadili permainan futsal. Hmmm kalau ibubapa dimaki anak dengan perkataan BABI, adakah ibu bapa masih boleh mengusap pipi anak dan menciumnya?

Ye boleh, tapi tidak bagi saya walaupun saya tak melempang pelajar itu, tapi tetap tak lupakan kata-katanya hingga kini. Hingga satu hari saya dengar dia sekarang menghuni pusat serenti kerana menjadi penagih dadah. Sedihkan? Ye saya rasa sedih dan simpati pada ibu bapanya. Walaupun saya tak pernah berdoa dia jadi begitu.

Jadi, kepada ibubapa. Kalau rasa guru ‘Ah Qua’ tak mampu ajar anak, maka ajarlah anak sendiri di rumah. Nak pindah pun tak guna sebab jika berpindah ke sekolah lain pasti guru lain pun tak mahu membimbing jiwa anak anak ini kerana sudah tular di media sosial. Mereka hanya mengajar apa yang ada dalam sukatan sahaja. Bimbingan perlukan ikhlas, teguran dan dendaan supaya anak tak leka.

Pada guru, just play safe. Jangan kacau kalau rasa anak didik kita jenis tak dapat menerima teguran berkali kali. Tulis surat mengadu je pada ibubapa mereka. Mereka nak bertindak atau tidak terpulang pada mereka.

Tak payahlah cikgu rotan rotan sangat. Ini zaman revolusi industri 4.0. Kita buat je ‘kerja mengajar’ kita.

Ini sahaja pandangan saya.

Sumber: Cikgu Emmet