Jiran Buat Bising Boleh Buat Laporan Kepada Polis, Satu Kesalahan Jenayah – PDRM

Pernah tak berhadapan dengan jiran yang tidak bertimbang rasa?  Seperti membuat bising pada waktu malam sehingga mengganggu ketenteraman penduduk sekeliling.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam status Facebook rasmi mereka mengingatkan orang ramai bahawa kita boleh melaporkan aduan kepada pihak PDRM sekiranya menghadapi gangguan bising daripada jiran sekeliling.

Menurut PDRM, membuat bising adalah satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa.

#JomBeringat

Adakah anda tinggal di kediaman yang kurang menyenangkan akibat bunyi bising? Membuat bunyi bising yang keterlaluan adalah sejenis kemudaratan (nuisances) dan merupakan satu kesalahan jenayah.

Jika anda mempunyai jiran yang selalu buat bising seperti bermain mercun, rem motor dengan kuat, gelak ketawa dengan kuat, memasang muzik secara kuat sehingga mengganggu ketenteraman awam, anda boleh laporkan di balai polis berdekatan kawasan perumahan untuk tindakan pihak berkuasa. Sesiapa yang membuat bunyi bising yang keterlaluan boleh didakwa di bawah Seksyen 13(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Jangan pula anda ambil tindakan sendiri apabila tidak berpuas hati dengan jiran yang membuat bunyi bising. Akhirnya anda pula didakwa atas kesalahan jenayah.

Kita sebagai rakyat Malaysia, sama-sama menjaga semangat kejiranan agar tidak menyebabkan gangguan kepada penghuni-penghuni tempat kediaman.

Sumber: Siakapkeli

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *