Jangan Buat Spekulasi Isu Yang Sedang Disiasat – Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini meminta pihak tertentu supaya berhenti membuat spekulasi berhubung isu sedang disiasat termasuk isu-isu perolehan dan kewangan oleh Kementerian Pertahanan.

Katanya, isu seperti pembelian helikopter masih di bawah siasatan Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara.

“Pihak-pihak yang tidak berkaitan tidak sepatutnya membuat spekulasi terhadap sebarang isu yang sedang disiasat Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara seperti pembelian helikopter, kerana ia akan mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataaan pada Isnin.

Jelas Mohamad, sepertimana hasil siasatan jawatankuasa berkenaan mengenai isu ‘land swap’ sebelum ini, Kementerian Pertahanan akan memanjangkan hasil siasatan kepada Kabinet sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

“Kementerian Pertahanan akan memanjangkannya kepada Kabinet sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi

Sumber: Astro Awani