Israel Tuduh Perdana Menteri “Anti-semitisme Fanatik” Kerana Larang Atlet Mereka Masuk Malaysia..

BAITULMAQDIS: Israel semalam menuduh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bersifat ‘anti-semitisme fanatik’ selepas melarang negaranya dari menganjurkan sebarang acara sukan yang membabitkan atlit dari negara Yahudi.

Minggu lalu, Dr Mahathir berkata, perenang Israel tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia bagi menyertai kejohanan kelayakan Paralimpik Tokyo 2020 pada akhir tahun ini.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah pada Rabu menegaskan negara itu tidak akan menjadi tuan rumah kepada acara yang disertai Israel.

Jurucakap kementerian luar Israel, Emmanuel Nahshon yang menyelar keputusan memalukan untuk menghalang atlitnya itu menyifatkan langkah itu sangat bertentangan dengan semangat Olimpik.

“Israel mengutuk keputusan bersifat anti-semitisme fanatik Dr Mahathir itu,” katanya.

“Kami menyeru Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa untuk mengubah keputusan yang salah ini atau menukar lokasi acara terbabit.”

Kuala Lumpur menolak permintaan badan sukan dunia terbabit untuk mencari penyelesaian berhubung pertikaian itu.

Malaysia adalah antara beberapa negara Islam yang tidak menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Israel. Penggunaan pasport Israel ke negara ini juga adalah dilarang. – AFP

Sumber: BH Online