Ibu Tiga Anak Curi Makanan Dipenjara Sehari, Denda RM1,000

KUALA LUMPUR: Seorang ibu kepada tiga anak menangis teresak-esak selepas dihukum penjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri pelbagai jenis makanan dan barangan lain di sebuah pasar raya, minggu lepas.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Eng Siu Khim, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri antaranya minyak zaiton, makanan sejuk beku Otak-otak, Fish Fillet dan Crispy Chicken serta span pencuci pinggan bernilai RM145.37 daripada pasar raya Aeon, Mid Valley Megamall di sini pada 2 petang, 18 Januari lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan turut mengarahkannya dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu wanita itu, seorang suri rumah yang menangis sepanjang prosiding, merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak pernah melakukan kesalahan sebelum ini dan menyesal dengan perbuatannya itu.

“Saya sangat menyesal dengan perbuatan ini dan tolong bagi saya peluang kerana saya mahu berubah menjadi orang yang lebih baik,” katanya sambil menambah dia juga merindui anak-anaknya sepanjang dalam tempoh tahanan reman.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adila Nordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seorang pengawal keselamatan pasar raya itu ternampak tertuduh membawa satu beg berisi pelbagai barangan dalam keadaan mencurigakan dan selepas ditahan, mendapati tertuduh mengambil barang-barang itu tanpa membuat sebarang bayaran. – BERNAMA