Haziq Diperalatkan Dalam Fitnah Ini – Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz diperalatkan dalam penyebaran rakaman video semburit yang dikaitkan dengannya baru-baru ini.

Azmin berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau mengenali pemuda itu yang mendakwa menjadi pasangannya dalam rakaman video berkenaan.

“Saya kenali dari jauh sebab dia ahli parti. Pernah ahli parti kemudian sertai pembangkang, setelah kita menang lompat balik kepada parti Keadilan. Ini karektor individu yang diperalatkan dalam fitnah ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam hari ini.

Susulan beberapa siri video seks tersebut, khususnya dihantar kepada wartawan dan ahli-ahli PKR, Haziq mendakwa beliau adalah salah seorang lelaki dalam video itu.

Pemuda itu juga mengaitkan Azmin sebagai pasangan sejenisnya dalam rakaman video berkenaan.

Azmin semalam menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan itu sebagai komplot jahat dan kejam untuk memusnahkan karier politik beliau.

Azmin turut mengulangi pendirian yang dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Saya telah tegaskan bahawa seperti dinyatakan PM, sekiranya ada perbedaan pendapat atau sekiranya seseorang itu tidak berjaya memberikan satu khidmat yang diterima oleh rakyat, janganlah resort atau pilih jalan yang kotor dan jijik ini.

“Sebagai sebuah kerajaan baru, kita harus berpegang kepada politik nilai, dan juga prinsip yang jelas dan tidak terjebak kepada politik yang kejam dan jijik seperti ini.

“Teguran YAB PM ini, satu teguran yang serius yang harus diberi perhatian oleh semua pihak khususnya pimpinan parti,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mengesyaki sesiapa sebagai dalang dalam kempen memburuk-burukkan beliau, Azmin berkata beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan.

“Saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan,” katanya.

Sumber: Malaysiakini