Hati Tersentuh Dengan Kebaikan Abang Polis

ISKANDAR PUTERI: Kisah kereta peronda polis berhenti di tepi jalan yang pada mulanya seperti mahu menyaman motosikal menjadi tular apabila sebenarnya anggota polis terbabit berhenti bagi membantu empat Orang Asli sekeluarga yang membonceng motosikal dalam hujan lebat.

Keprihatinan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri itu mendapat perhatian masyarakat yang memuji tindakan murni membantu mereka yang memerlukan bantuan

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata tindakan anggota MPV itu menjadi antara teladan baik.

Katanya, tanggungjawab polis bukan setakat menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat serta negara malah prihatin serta bersedia membantu penduduk dalam keadaan memerlukan.

Beliau berkata, dalam kejadian berlaku petang semalam, beberapa anggota berkenaan terserempak dengan sepasang suami isteri Orang Asli bersama dua anak berusia setahun tujuh bulan dan tiga tahun membonceng motosikal dalam keadaan hujan lebat berhampiran Kangkar Pulai, dekat sini.

Anggota MPV membantu pasangan Orang Asli yang menaiki motosikal ketika hujan lebat berhampiran Kangkar Pulai. – Foto ihsan PDRM

“Mereka yang melihat kesulitan dialami keluarga berkenaan terutama mengambil kira keselamatan kanak-kanak mengambil keputusan menawarkan bantuan untuk menghantar ibu serta dua orang anak mereka ke rumah terletak di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah.

“Setiap masyarakat kami anggap sebagai ahli keluarga dan dalam situasi seumpama ini apa salahnya anggota polis membantu. Memang sikap berkenaan kami ingin tanamkan dalam kalangan anggota polis,” katanya.

Bantuan diberikan anggota polis berkenaan menjadi perhatian ramai apabila tersebar di media sosial sejak petang semalam.

Menerusi gambar yang tersebar kelihatan seorang ibu mendukung anaknya selain terdapat seorang kanak-kanak yang turut bersamanya dan suaminya.

Turut kelihatan gambar anggota polis membuka pintu kereta bagi membolehkan tiga beranak berkenaan menaikinya.

Sumber: BH Online