Harga Minyak Turun, Pengusaha Stesen Minyak Makin Ramai Gulung Tikar?

PETALING JAYA: Jika pengumuman harga minyak mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat, sentimen itu berbeza bagi pengusaha stesen minyak.

Bagi golongan berkenaan, saban tahun menjadi keperitan buat mereka apabila kos yang ditanggung semakin tinggi sehinggakan ada yang terpaksa gulung tikar.

Bagi Presiden Persatuan Pengusaha Pengusaha Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, beberapa pendekatan perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam menyelamatkan pengusaha minyak di seluruh negara.

“Kos sejak 10 tahun lalu telah naik. Paling tinggi kos kami tanggung adalah apabila kita bayar gaji RM550 sebulan, dan sekarang RM1,100.

“Nombor dua, elektrik kita bayar dulu antara RM3,000 hingga RM4,000, tetapi sekarang RM9,000 hingga RM12,000.

“Nombor tiga, Operating License Fee (Yuran Pengendali Operasi) paling senang macam sewa yang dikenakan oleh syarikat minyak. Ada yang ambil 0.75 sen per liter ada yang ambil setinggi 3 sen atau 4 sen per liter. Jadi apa yang tinggal pada kami?

“Yang terakhir adalah kad kredit. Kami bayar 0.6 hingga 1 peratus kami serap bagi pihak pengguna yang menggunakannya di stesen,” ujar beliau.

Jelasnya, kini lebih 70 peratus pelanggan memakai kad kredit sekali gus menelan lebih banyak perbelanjaan mereka berbanding keuntungan.

Lebih malang, ada juga pengusaha yang tidak dapat bertahan lama dalam industri itu sehingga terpaksa gulung tikar.

“Tahun demi tahun, margin kami semakin merosot. Banyak juga rakan-rakan perniagaan terpaksa menanggung beban apabila penjualan minyak mereka merosot dan ada juga terpaksa menggunakan margin kedai.

“Boleh dikatakan keuntungan mereka sama seperti gaji golongan B40 iaitu pendapatan di bawah RM4,000. Kalau 2013, sikit saja. Tetapi pada tahun  2014 sehingga 2017 paling banyak hingga melebihi 70 pengusaha yang gulung tikar. Untuk tahun 2018, kita sedang kira dan menjangkakan lebih ramai yang gulung tikar,” jelas beliau.

Cadangan untuk membantu

Justeru, menurut Khairul Annuar, beberapa mekanisme perlu diwujudkan oleh pihak kerajaan bagi membantu pengusaha stesen minyak.

Antara yang dicadangkan, paras penjualan stok kepada pengusaha stesen setiap kali harga minyak mingguan berubah.

“Dari segi (pelarasan) mingguan itu, kalau kerajaan nak laraskan mekanisme, kita dah bagi pandangan. Kalau teruskan juga, kerajaan boleh bantu dari segi tahap stok yang kami ada di stesen setiap kali harga berubah. Laraslah tempoh minimum dua hari tidak kira naik atau turun. Jadi kita boleh kawal,” cadangnya.

Malah Yuran Pengendalian Operasi yang dikenakan oleh pihak syarikat minyak terhadap pengusaha stesen juga perlu dipantau oleh Kerajaan.

Menurutnya, kenaikan harga sewa per liter yang dikenakan juga membebankan pengusaha apabila kos yang ditanggung semakin meningkat.

“Dulu 2008 sewa kita hanya 0.75 sen, kita bayar syarikat minyak 0.3 sen per liter bagi diesel tapi sekarang sekarang dah naik 3 hingga 4 sen per liter. Jadi apa yang kerajaan bagi kepada kami dari segi komisen, kami tak dapat penuh.

“Kalau boleh apa yang kerajaan bagi dekat kita, kita dapat balik. Kalau tidak, kos kita baik rental kita naik margin kita habislah kali ni,” keluh beliau.

Pihak ambil kesempatan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga dicadangkan agar memantau perkara itu, kerana dikhuatiri ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ketika kerajaan meningkatkan komisen kepada pengusaha stesen minyak.

Turut dicadangkan, satu jawatankuasa khas bagi memantau sebarang kenaikan mahupun penurunan harga minyak.

“Kita menderita 10 tahun sebab mekanisme yang ada untuk menaikkan komisen. Dalam APM, mekanisme ini mesti melalui Kabinet dan menteri. Tapi sebagai contoh di Afrika Selatan, satu jawatankuasa khas diwujudkan iaitu melibatkan syarikat minyak, kerajaan, pengedar dan pengangkut. Jadi setiap hujung tahun, kita duduk dan melihat semula apa yang perlu ada,” ujar beliau.

Justeru kerajaan ujarnya, perlu mengambil serius akan segala cadangan yang diberi oleh pihak persatuan bagi memastikan tiada pengusaha stesen minyak tersepit ketika harga minyak dunia semakin merudum.

Sumber: Astro Awani