Guan Eng Pesan Pemimpin DAP Jangan Buang Masa Layan Najib

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan agar kepimpinan DAP tidak perlu membuang masa melayan dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak.

Jelas Lim, ia hanya akan memberikan peluang kepada Najib mengalihkan perhatian dunia daripada perbicaraan kes rasuah dan kleptokrasi terbesar dalam sejarah.

“Tak perlulah kita membuang masa dengan memberi perhatian kepada Najib apabila sejarah dan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 telah membuat keputusan tentang beliau.

“Sebaliknya, kita harus gandakan usaha kita untuk membawa perubahan yang positif kepada negara, dan membawa kemakmuran supaya Malaysia dapat mengaum semula sebagai seekor Harimau Ekonomi Asia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Lim, Najib juga menjadikan DAP sasaran utama dalam melempar serangan berbentuk rasis dan ekstremis untuk melaga-lagakan orang Melayu dengan bukan Melayu, atau Muslim dengan non-Muslim.

“Dengan membalas kepada semua pembohongan ini, kita hanya akan tergelincir ke dalam perangkap beliau supaya beliau dapat berlakon menjadi mangsa yang sedang diserang oleh semua pihak.

“Apabila pembohongan ini didedahkan, beliau akan membuat acuh tak acuh atau mengabaikan sahaja tanpa segan silu dan terus melemparkan pembohongan yang seterusnya,” katanya.

Terdahulu, dalam gimik terbarunya, Najib memuat naik klip video di Facebook yang disertakan keterangan: “Terowong Lim Guan Eng? Yilek (tak ada). Sama macam janji manis PH. Kosong”.

Dalam klip video itu, Najib berdiri di tepi laut, dipercayai di Pulau Pinang, ketika kunjungannya ke negeri itu Ahad lalu.

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, pemimpin BN mempersoalkan ketelusan projek terowong dasar laut berkenaan.

Lim yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang ketika itu mendakwa pemimpin BN cuba mensabotaj projek yang akan menghubungkan tanah besar dan pulau bagi mengatasi kesesakan di negari itu.

Projek itu sempat ditangguhkan susulan penahanan pegawai pemaju projek itu, Konsortium Zenith pada Jan tahun lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pegawai eksekutif kanan Konsortium Zenith Zarul Ahmad Zulkifli berkata SPRM sudah mengesahkan dia tidak terlibat dalam sebarang skandal berhubung projek itu dan pembinaannya akan dimulakan 31 Ogos ini.
Mengulas lanjut, Lim menegaskan bahawa sejarah dan rakyat sudah memutuskan pendirian terhadap Najib pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Justeru, katanya, pemimpin DAP dan PH harus gandakan usaha untuk membawa perubahan yang positif kepada negara.

“Marilah kita menumpukan perhatian kita kepada rakyat, dengan meningkatkan taraf hidup, menaikkan kuasa pembelian dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia, serta menjayakan reformasi institusi yang membawa kebebasan, keadilan, kedaulatan undang-undang, dan integriti awam yang dapat mengembalikan maruah dan kehormatan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Malaysiakini