Gempa Bumi Lombok. Seorang Disahkan Terkorban, Enam Lagi Rakyat Malaysia Gagal Dikesan

PUTRAJAYA 17 Mac – Seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban manakala enam lagi masih belum dapat dikesan dalam kejadian gempa bumi berskala 5.8 Richter yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada pukul 2.07 petang (waktu tempatan) hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa keenam-enam warganegara Malaysia itu.

Menurutnya, mangsa yang terkorban dan enam yang lain dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa gempa bumi melanda.

“Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Wisma Putra, sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihak kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden gempa bumi.

“Kita juga menyarankan supaya semua warganegara Malaysia yang terjejas untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian (6221) 522 4947, +62 813 8081 3036 atau 03-8887 4570 (Wisma Putra).

“Kementerian juga ingin menasihatkan supaya warganegara Malaysia melaporkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sumber: Utusan Online