Gementar Agong Teman Beli Baju Raya

KUANTAN – Pengalaman membeli baju raya tahun ini menjadi kenangan paling manis buat Aliah, penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom di sini, kerana berpeluang bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Aliah, 10, juga mengakui agak gementar apabila Sultan Abdullah berkenan memimpin tangannya semasa menaiki eskalator di pasar raya, dan mula bertanya beberapa soalan kepadanya sepanjang perjalanan.

“Tuanku tanya saya hendak beli apa dan saya jawab baju raya. Tuanku beritahu saya ambil apa sahaja yang saya berkenan, sebenarnya saya segan nak bercakap (dengan tuanku) kerana saya tak tahu gelaran yang sesuai untuk tuanku.

“Tapi saya sempat mengucapkan selamat Hari Raya kepada tuanku. Seronok sebab saya tahu tuanku orang besar dan tiba-tiba saya dapat berdiri sebelah dan tak sangka tuanku ramah orangnya,” katanya pada pemberita di sini hari ini.

Aliah antara 106 anak-anak kurang bernasib baik dari Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah yang diraikan oleh Yayasan CIMB untuk membeli kelengkapan raya di sebuah pasar raya hari ini. – Bernama