Gara-gara Masakan Tak Sedap, Isteri Dirantai Dan Dipukul Dengan Kayu Oleh Suami Durjana

GARA-gara tidak berpuas hati dengan rasa sup yang disediakan isterinya, seorang lelaki sanggup merantai wanita itu dan membiarkannya tanpa makanan serta minuman selama tiga hari.

Menurut laporan media Ukraine, Komsomolskaya Pravda, tindakan kejam Alexander, 40, kononnya untuk memberi pengajaran kepada isterinya itu.

Difahamkan, leher Angela diikat pada perabot di rumah mereka selepas pasangan suami isteri tersebut bergaduh dan dia turut dipukul dengan kayu.

Ahli keluarga Angela menemui mangsa tiga hari kemudian dalam keadaan pucat dan menggigil.

Angela berkata selain tidak diberi makan, dia turut dihalang ke tandas dan dipukul dengan kayu apabila memujuk suaminya untuk melepaskannya.

“Dia marah kerana kualiti masakan saya tidak baik. Tapi saya percaya itu hanya alasan kerana dia tidak puas hati sejak saya berhenti beri duit kepadanya,” kata Angela.

Ketika disoal siasat, Alexander mengaku berniat untuk merantai isterinya selama sembilan hari. Akibat dari perbuatannya, dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun. – Astro Awani