Elakkan Masjid, Surau Jadi Pusat Sebar Kebencian

KUALA LUMPUR: Masjid dan surau perlu menjadi institusi ummah yang bebas daripada segala bentuk kepentingan termasuk berkait unsur politik kepartian, sebaliknya perlu menjadi pusat menyampaikan perkara kebaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata kesucian masjid dan surau perlu dipelihara supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan menyebarkan kebencian atau ideologi dengan menjadikan program tertentu sebagai alasan.

“Saya menyokong penuh teguran dan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung penyalahgunaan masjid dan surau oleh sesetengah pihak untuk aktiviti berbentuk politik kepartian.

“Saya juga bersetuju dengan titah baginda yang menegaskan masjid dan surau berperanan sebagai tempat menyatukan ummah dan perlu bebas daripada sebarang unsur politik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap teguran dibuat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang meminta parti politik tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian, terutama di sepanjang Ramadan ini.

Selain teguran salah guna rumah ibadah itu untuk program kepartian, Sultan Perak turut menitahkan pemimpin utama enam parti di negeri itu menghadap baginda susulan isu berkenaan.

Pemimpin yang dipanggil mengadap adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR, DAP, UMNO dan PAS.

Arahan itu dikeluarkan susulan dakwaan Pemuda AMANAH Perak pada Sabtu lalu, mengesan sekurang-kurangnya empat program yang jelas menggunakan nama parti pembangkang dilakukan di masjid dan surau di negeri itu, baru-baru ini.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, dilaporkan berkata, tindakan kedua-dua parti berkenaan nyata tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa Sultan Perak dan mencabar kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam menguatkuasa peraturan sedia ada.

Mujahid berkata, tindakan itu juga sejajar dengan konsep masjid ‘RAHMAH’ (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang kerajaan terapkan dalam dasar pentadbiran Islam di negara ini.

“(Ini) supaya masjid dan surau bebas daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online