‘Egg Boy’ Dianggap Wira Baharu Australia Kerana Tindakan Beraninya Pecahkan Telur Pada Senator Rasis

SEORANG remaja diangkat sebagai wira di Australia apabila tindakan beraninya memecahkan telur di kepala seorang senator Australia tular di media sosial.

Akibat tindakannya itu, remaja yang dikenali sebagai Will Connolly, 17, ditumbuk sebanyak dua kali oleh Senator Fraser Anning sebelum dileraikan.

Video yang dikongsi di laman sosial menunjukkan Connolly sempat merakam tindakannya itu semasa Anning sibuk mengadakan sidang media.

Connolly ditahan namun dibebaskan polis selepas soal siasat.

Sementara itu, kempen crowdfunding diwujudkan untuk mengajak orang ramai membantu membayar kos perundangan remaja tersebut.

Anning menimbulkan kontroversi apabila mengaitkan serangan pengganas di sebuah masjid di New Zealand pada Ahad dengan isu imigran.

Kenyataannya mendapat kecaman majoriti ahli politik di Australia dan perdana menteri Scott Morrison diramal membuat kenyataan mengecam tindakan Anning apabila Parlimen kembali bersidang bulan depan.

Ketua pembangkang Australia, Bill Shorten turut menganggap komen yang dibuat Anning sebagai menjijikkan.

Sumber: Astro Awani