Dr Amalina Tinggalkan Twitter, Kecewa Rakyat Malaysia Belum Sedia Ubah Minda

DOKTOR kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat di perantauan, Dr Nur Amalina Che Bakri mengejutkan pengikutnya di Twitter apabila membuat keputusan untuk berehat seketika daripada dunia media sosial.

Dr Amalina memberi alasan bahawa beliau mahu memberi tumpuan kepada latihan surgikal dan dunia akademiknya.

“Pengikut yang dihormati, saya telah memikirkan perkara ini banyak kali dan saya membuat keputusan untuk berehat seketika dari Twitter.

“Saya mahu fokus kepada latihan pakar saya dalam pembedahan umum, matlamat kerja dan juga Doktor Falsafah (PhD) serta dunia akademik saya,” katanya dalam satu bebenang di Twitter, malam Selasa.

Bagaimanapun Dr Amalina yang bertugas sebagai pakar pelatih surgikal di United Kingdom (UK) berkata beliau turut kecewa dengan pemikiran dan sikap rakyat Malaysia.

Posting Dr Amalina membuatkan netizen terkejut mengenai keputusannya itu.

“Mungkin beberapa rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk perubahan minda ke arah positif dan berdaya maju dan ya, saya harus katakan bahawa saya kecewa.

“Oleh itu, lebih baik jika saya menumpukan apa yang terbaik untuk diri saya,” katanya.

Tambah Dr Amalina lagi, beliau menerima banyak kecaman meskipun cuba berbuat baik kepada orang lain.

“Ia tahun 2019 tetapi masih ada banyak troll, kebencian dan sikap negatif apabila awak cuba berbuat baik kepada orang lain.

“Niat saya hanya untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan kepada umum orang ramai berdasarkan keupayaan saya sebagai seorang doktor,” katanya.

Pada masa sama, Dr Amalina turut mengucapkan terima kasih kepada netizen yang menghargai bakat dan juga ilmu pengetahuannya.

Dr Amalina bertugas sebagai pakar pelatih surgikal di UK. Foto Instagram Dr Amalina.

“Anda masih ada ramai doktor hebat di Twitter yang boleh bantu anda. Roma tidak didirikan dalam satu hari. Salam penuh kasih sayang,” tulisnya.

Rata-rata pengikut Dr Amalina mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil pendekatan sama terhadap akaun Instagramnya, Dr Amalina berkata beliau akan aktif di platform media sosial itu.

“Ya saya akan (memuat naik gambar di Instagram), kebanyakannya hanya hal peribadi dan aktiviti harian saya,” kata beliau.

Sumber: Mstar Online