“Dia Kena Bantai..” – Saksi Awam Imbas Kembali Insiden..

SHAH ALAM: “Saya nampak (seorang) anggota bomba duduk di bahu jalan dalam keadaan melunjur sambil memeluk tubuh seperti dalam kesakitan”.

Demikian kata saksi keempat, Amirrul Adli M Yussli, 26, yang merupakan saksi awam ketika memberi keterangan semasa sesi prosiding inkues Muhammad Adib Mohd Kassim di hadapan Koroner Rofiah Mohammad pada Rabu.

Amirrul menceritakan keadaan seorang anggota bomba yang dikelilingi orang ramai, sambil diberitahu salah seorang daripada mereka mengenai keadaan bomba yang cedera itu, ketika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada November lalu.

“Dia kena bantai,” kata seorang lelaki India kepada Amirrul, ketika dia bertanya mengenai keadaan anggota bomba yang ditemuinya.

Kenderaan Amirrul juga terjejas akibat dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT) ketika berlakunya insiden kekecohan itu. Menceritakan keadaan persekitaran ketika itu katanya, terdapat ratusan individu sedang berkumpul dan ada sebahagian daripada mereka sedang minum arak.

“Sebaik sahaja jentera FRT dan kenderaan (EMRS) tiba, ada kumpulan dari arah kuil menuju ke arah jentera sambil menjerit menghalang untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Jentera FRT turut dicucuk dengan objek besi serta dibaling botol kaca sehingga menyebabkan cermin hadapannya pecah, jelas Amirrul.

Pada awalnya, Amirrul bersama seorang rakannya memaklumkan dalam perjalanan menuju ke rumah rakannya di Putra Height sekitar jam 12.30 pagi pada 27 November sebelum melalui kawasan rusuhan itu sebelum mengambil keputusan memberhentikan kenderaan bagi melihat sendiri suasana kecoh itu.

Prosiding inkues berhenti rehat pada jam 1.30 tengah hari sebelum bersambung semula pada sebelah petang. – Astro Awani