Buruh Ditampar Polis Hingga Pekak Terima Pampasan Lebih RM100,000

KOTA BHARU: Derita seorang buruh, Mohd Faizu Ramli, 32, yang pekak telinga kiri kerana ditampar anggota polis 4 tahun lepas terbayar apabila mahkamah mengarahkan kerajaan selaku defendan membayar ganti rugi RM112,040.

Ia merangkumi tuntutan ganti rugi am atas kecederaan di bahagian telinga kiri yang dialami akibat ditampar defendan pertama Lans Koperal Mohd Erman Ahmad, ganti rugi teladan RM100,000, ganti rugi am atas kecederaan sebanyak RM12,000, dan ganti rugi khas RM40.

Mahkamah turut memerintahkan faedah penghakiman dibayar pada kadar 5% setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.

Hakim Mohd Rosly Muhammad Nawi mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Sesyen 3, Kota Bharu.

Haizu menyaman Erman sebagai defendan pertama, ketua polis daerah Tumpat sebagai defendan ke-2 dan kerajaan Malaysia defendan ke-3 pada 14 Mei 2018 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Pihak kerajaan diwakili oleh Peguam Persekutuan Nik Nor Adila Zaidan manakala Haizu oleh peguam Shaharuddin Mohamad.

Dalam kejadian 17 April 2015, Faizu yang mendengar bunyi riuh di atas rumah bapanya, bertemu dengan Erman (plaintif pertama) untuk bertanya tujuan serbuan pihak polis tetapi kemudian dituduh cuba mengganggu tugas anggota polis dan ditampar di telinga kiri.

Tamparan kuat itu menyebabkan telinga kiri Faizu cedera dan berdarah sehingga mengalami masalah pendengaran.

Sementara itu Faizu yang ditemui menyatakan rasa bersyukur kerana penderitaannya selama ini mendapat pembelaan yang terbaik.

Beliau yang masih kurang pendengaran berkata akan menggunakan wang pampasan itu sebaik mungkin untuk masa depan keluarga.

“Walaupun dah 4 tahun, telinga saya masih berdengung dan perlu menjalani rawatan dari masa ke semasa,” katanya.

Sumber: FMT