Budak Dilambung, Mati Terkena Kipas Siling

BUDAK perempuan berusia dua tahun maut akibat parah di kepala terkena kipas siling selepas dilambung sepupu lelakinya yang berusia 25 tahun.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sehari selepas dimasukkan ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian berlaku Ahad lalu di rumah teres dua tingkat di Tasik Tambahan, Ampang lebih kurang 10 malam.

Katanya, ketika kejadian suspek berkenaan melambung mangsa yang sedang menangis ketika bermain bersama.

“Susulan kejadian itu, ibu mangsa bersama abangnya yang juga bapa saudara kepada kanak-kanak perempuan itu membawanya ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 malam keesokan harinya oleh pihak hospital dan mayat di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Azmi berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca akibat parah di kepala kerana hentakan trauma objek tumpul.

Katanya, bapa mangsa kemudian membuat laporan dan polis menahan lelaki berusia 25 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, kira-kira 1.15 tengah hari semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan,” katanya.