Beg Plastik Tidak Dibenarkan Di Semua Pasaraya Bermula Tahun Depan..

BERMULA tahun depan, semua pasar raya, rangkaian kedai dan restoran di seluruh negara akan dikenakan ‘caj pencemaran’ jika masih menggunakan beg plastik konvensional dalam perniagaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, caj pencemaran itu akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang diberi tempoh selama tiga tahun dari 2019 sehingga 2021 untuk menguat kuasakannya.

Katanya, kerajaan negeri juga diberi kuasa untuk menentukan sendiri berapa caj pencemaran yang mahu dikenakan selain bila mahu melaksanakannya.

“Kerajaan negeri akan menentukan nilai caj dan bila ia akan dilaksanakan. Kita serahkan kepada kerajaan negeri bila mahu mengumumkan perkara ini kerana setiap negeri mempunyai tahap kesedaran yang berbeza.

“Kutipan caj ini akan dikumpulkan dalam satu tabung dan dana boleh digunakan untuk tujuan seperti kempen kesedaran atau memberi beg beli-belah boleh guna semula kepada orang awam. (Tetapi) Ia tidak boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Selain itu, kita juga berharap dapat meningkatkan bilangan pengeluaran beg plastik boleh terurai pada kadar yang kompetitif bagi kemudahan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) ke-9 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber: Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *