Bazar Buluh Kubu Kecoh Angkara Seorang Wanita

KOTA BHARU – Suasana membeli belah di depan Bazar Buluh Kubu kecoh apabila seorang wanita memandu kenderaannya di kawasan laluan Pasar Malam Parit Dalam.

Menerusi perkongsian video berdurasi 1.33 minit oleh pelayar Facebook, Ma Ta Seven, wanita berkenaan berang kerana diserang sekumpulan lelaki dipercayai pengunjung di situ.

Ada yang bertindak merosakkan kereta wanita terbabit dengan menggunakan kayu dan kon kerana tidak berpuas hati dengan alasan yang diterima.

Tidak terhenti di situ, wanita berkenaan menjerit dan mendesak agar pengunjung tidak mengapa-apakan kenderaannya serta berusaha untuk memberi penjelasan.

Ia diburukkan lagi dengan jeritan beberapa lelaki supaya memecahkan kereta yang dipandu.

Menerusi satu lagi perkongsian, wanita itu mendakwa dia sudah biasa melalui jalan ke pasar malam yang lazimnya boleh dilalui kenderaan.

Namun berbeza dengan kejadian pada malam tadi, apabila mendapati bilangan pengunjung terlalu ramai sehingga menyebabkannya terperangkap.

“Awak kena faham, saya panik sebab orang kejar saya dari pasar raya dekat sini.

“Awak faham tak, saya tekan minyak sebab saya nak lari daripada orang belakang, tendang kereta saya,” katanya semalam.

Kedengaran juga seorang pakcik apabila mendakwa, tayar kereta wanita itu bukan sahaja menggilis kaki seorang kanak-kanak dan cuba melanggar pejalan kaki lain malah bertindak biadab selepas diminta membuat penjelasan.

Sumber: Sinar Harian