Bayi Injap Jantung Terbalik, Mohon Sumbangan Orang Ramai

GUA MUSANG – Seorang ibu sedih mengenang nasib anak lelakinya yang menghidap penyakit injap jantung terbalik sejak dilahirkan tiga bulan lalu.

Kartini Mohamed, 40, yang tinggal di Kampung Renok Baru di sini berkata, anaknya, Nik Fayydh Aiman Nik Roslan, 3 bulan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Katanya, bayinya itu yang dilahirkan pada 26 Februari lalu telah disahkan menghidapi masalah jantung oleh doktor ketika dalam kandungan lagi.

“Selepas dilahirkan bayi saya terus dimasukkan ke wad hospital berkenaan kerana masalah pernafasan akibat menghidapi injap jantung terbalik.

“Saya terpaksa menjalani pantang berseorangan tanpa bayi di sisi. Ketika jiran sekampung yang lain bergembira menyambut hari raya, saya tidak sanggup meninggalkan anak keseorangan dan tetap menemaninya sepanjang masa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kartini berkata, dia masih menunggu tarikh pembedahan anaknya itu yang akan dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, ketika ini dia bimbang dengan kemampuan untuk membayar kos rawatan dan pembedahan anaknya nanti yang dijangka menelan kos ribuan ringgit.

“Saya sebagai suri rumah sepenuh masa dan mempunyai tiga lagi anak lelaki yang masih bersekolah.

“Kami hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja kampung dengan gaji sekitar RM1,300 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun bank CIMB milik Kartini bernombor 7625674675.

Sumber: Kosmo Online