Bapa Pelajar Didakwa Tampar Guru..

MELAKA – Seorang bapa lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang guru Pendidikan Jasmani dengan cara menampar pipi lelaki itu pada tahun lalu.

Tertuduh, Kamarul Ariffin Suboh, 44, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Muhammad Fakharuddin Azahar, 27, yang juga merupakan seorang guru Pendidikan Jasmani kira-kira pukul 3 petang di tepi padang 10 di Krubong pada 26 April 2018.

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, sebelum kejadian guru berkenaan telah memarahi seorang pelajarnya yang juga merupakan anak ketiga tertuduh berumur 15 tahun kerana membeli makanan tidak berkhasiat iaitu ayam gunting pada hari perlawanan bola sepak dan mengarahkan pelajar itu pulang.

Berang dengan tindakan guru tersebut, tertuduh yang bekerja di kedai perkakasan bertindak menampar pipi kiri lelaki berkenaan sebanyak dua kali, namun mangsa tidak membalas perbuatan tersebut.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 6 Mac depan sebagai sebutan semula kes

Sumber: Kosmo Online