Ayam Punca Kemalangan! Gadis Terpaksa Dibedah 3 Kali, Muka Tertusuk Cermin Mata Ketika Edar Taqwim Bantu Keluarga

“JANGAN sedih, mungkin ini cara Allah nak hapuskan dosa kakak.”

Begitulah rintihan seorang gadis kepada ibunya setelah dia terlibat dalam satu kemalangan pada hari kedua Ramadan di Kuala Sungai Yan, Kedah, minggu lalu.

Menerusi kejadian sekitar pukul 4.45 petang 7 Mei lalu, Norli Inas Syafiqah Fauzi, 22, sedang menunggang sebuah motosikal sebelum terbabas gara-gara mahu mengelak seekor ayam yang melintas jalan.

Kedengaran seperti kemalangan kecil sahaja, namun kesan hentakan menyebabkan gadis malang itu mengalami beberapa kecederaan serius.

Antaranya retak tulang belakang, patah satu tulang rusuk, patah pergelangan kaki dan pendarahan dalam hati sehingga menyebabkan organ itu membengkak.

Lebih malang, wajahnya juga berlubang akibat tertusuk cermin mata.

Bercakap kepada mStar, adik mangsa, Norli Anis Aniesa Fauzi, 19, mengakui sedih memikirkan nasib kakaknya yang juga tulang belakang keluarga mereka.

“Ayah nelayan, tapi ayah ada sakit jantung dan buasir, jadi ayah dah tak turun ke laut sekarang. Mak pula suri rumah, ada darah tinggi. Kami semua tujuh beradik, jadi kakak yang banyak bantu keluarga.

“Kakak buat dua kerja, dia jadi juruwang kedai dan juga buat kerja separuh masa dengan satu syarikat yang bawa orang pergi umrah dan haji.

“Sewaktu kemalangan, dia naik motor untuk edar taqwim berbuka puasa kepada masjid dan orang kampung,” ujar Norli sewaktu dihubungi pada Rabu.

Menerusi kejadian itu, kakaknya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selama lapan hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada Selasa.

Sepanjang dirawat, dia menjalani pembedahan plastik untuk kecederaan wajah, pembedahan hati dan juga pembedahan ortopedik untuk kecederaan kaki.

Menurut Norli, kakaknya disifatkan sebagai individu yang cukup kuat dan sedaya upaya cuba menyembunyikan kesakitan yang dialami.

Malah, keluarganya juga banyak memberikan kata-kata semangat dalam membantu gadis itu untuk kembali pulih.

“Mak memang sedih, menangis tapi tidaklah meratap. Mak kata, kalau bukan kita yang sihat ni nak tunjuk kuat depan dia, siapa lagi kan?

“Kakak pun kuat, dia tak menangis depan adik-adik. Dia memang sentiasa positif,” kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Perit dengan apa yang berlaku, kakaknya juga nekad untuk mengumpul wang bagi membeli kereta pada masa akan datang.

“Kakak masih fobia dengan kejadian ini. Dia tak mahu bawa motor langsung, dia cakap nanti sihat nak kumpul duit ambil lesen kereta, nak beli kereta murah-murah untuk pergi kerja,” kata Norli lagi.

Dalam pada itu, posting Norli mengenai kemalangan yang menimpa kakaknya turut mengundang simpati ramai sehingga menerima hampir 19,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, rata-rata netizen turut mendoakan gadis itu diberi kesembuhan segera.

Kata Norli lagi, dia juga mengalu-alukan jika ada pihak yang berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada keluarganya itu.

Sumber: Mstar Online