Anwar Yakin Kerjasama Umno-PAS Merosot Menjelang PRU15

Presiden PKR Anwar Ibrahim yakin kerjasama antara Umno dan PAS akan mula merosot apabila semakin hampir dengan PRU ke-15 ekoran perbezaan antara dua parti itu.

“Menjelang PRU, mereka akan berbalah…berkenaan dasar dan idea,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan dakwaan ada anggota akar umbi Umno dan PAS yang masih mempersoalkan hubungan antara dua parti itu.

Terdahulu, Umno dan PAS dilaporkan akan memeterai piagam bersama bagi mengukuhkan kerjasama.

Menurut Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, ia kini dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti dan akan menjadikan kerjasama lebih teratur, sama ada di peringkat nasional dan juga negeri.

Sumber: Malaysiakini