Anwar Jumpa PM, Bincang Isu Lantikan Latheefa, SPRM

Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu beliau telah bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selama kira-kira 30 minit hari ini.

Menurut Anwar, beliau menjelaskan kepada perdana menteri konteks persoalannya mengenai bagaimana Latheefa Koya dilantik sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM.

Pada hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata kedua-duanya bersetuju rasuah yang dilakukan sama ada oleh pentadbiran PH atau BN akan dapat ditangani dengan lebih cekap di bawah kepimpinan Latheefa.

“Saya menjelaskan konteks persoalan mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pecegahan Rasuah (SPRM).

“Saya juga memaklumkan kepada Dr Mahathir, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengutuskan surat untuk bertemunya,” kata MP Port Dickson pada hantaran di Facebook hari ini.

Jumaat lepas, Anwar meminta perdana menteri menjelaskan mengapa pelantikan ketua SPRM tidak memenuhi proses yang digariskan dalam manifesto PRU14 PH.

Perkara 14 manifesto itu, antara lainnya menjanjikan pentadbiran PH akan memastikan supaya pelantikan ketua pesuruhajaya SPRM akan menjadi tumpuan utama oleh parlimen.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pelantikan Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong menegaskan pihak legislatif tidak sepatutnya mengganggu proses eksekutif untuk memastikan pemisahan kuasa.

Anwar berkata isu lain yang dibincangkan dengan Mahathir, termasuklah hal ehwal hubungan antarabangsa.

Sumber: Malaysiakini