Anwar Bercita-cita Jadi PM Mempertahan Islam

KUALA LUMPUR 16 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat ingin dikenali sebagai pemimpin negara yang memiliki keyakinan teguh terhadap Islam apabila memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelak.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau juga ingin dikenali sebagai pemimpin yang sangat prihatin terhadap orang bukan Islam.

“Saya mahu insya-Allah jika diberi ruang untuk mentadbir negara ini, tadbir sebagai tokoh yang jelas pendirian dan keyakinan dalam Islam.

“Tetapi dikenali sebagai seorang yang sangat prihatin dan mengasihani kawan-kawan kita baik dalam kalangan bukan Islam seperti Kristian, Hindu kerana mereka juga warga kita yang setia,” katanya ketika berucap di sini hari ini.

Terdahulu beliau berbuka puasa dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Majlis tersebut turut diadakan sempena meraikan pembebasan setahun Anwar daripada penjara.

Yang turut hadir, Presiden Wadah, Ahmad Azam Abd. Rahman dan Presiden ABIM merangkap ahli lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Mohamad Raimi Abdul Rahim.

Dalam majlis tersebut, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada ABIM kerana kekal setia bersama dengannya ketika beliau difitnah oleh kepemimpinan lama.

“Cara paling licik dilakukan pemerintah lalu adalah merosakkan imej saya sama sekali sebagai seorang muslim, antaranya sebab saya Islam adalah kerana kesetiaan kawan-kawan dalam ABIM yang membantu dan menjelaskan bahawa mereka lebih mengenali Anwar.

“Ini banyak membantu menyelamatkan saya daripada fitnah tersebut,” katanya.

Sumber: UTUSAN ONLINE