Anak Perempuan DSV Bagi Duit RM100,000 Selesai Kemelut Aishah

IPOH – Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan Datuk Seri Vida tergamam apabila anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 14, membuat kejutan kepadanya dengan menyerahkan wang tunai berjumlah RM100,000 sebentar tadi.

Nur Edlynn Zamileen atau lebih mesra dipanggil Cik B menyerahkan wang tunai berupa campuran mata wang Ringgit Malaysia dan Dollar Singapura itu pada sidang akhbar yang diadakan Datuk Seri Vida bagi menjelaskan mengenai kemelut antara Datuk Seri Vida dan penyanyi Aishah yang diadakan kediaman Datuk Seri Vida di Meru di sini yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Cik B, beliau rasa bertanggungjawab untuk membantu ibunya menyelesaikan kemelut dengan Aishah dan tidak mahu lagi melihat Datuk Seri Vida menangis setiap hari memikirkan masalah tersebut.

“Mama (Datuk Seri Vida) pernah mengadu mengenai masalah ini namun Cik B buat tidak kisah sebab tidak mahu mama sedih. Tetapi Cik B sebenarnya kisah dengan masalah yang dihadapi mama dan ia terlalu berat bagi mama.

“Itu sebabnya Cik B rasa terpanggil untuk membantu mama dalam kes ini dan hari ini Cik B menyerahkan hasil jualan produk sendiri iaitu kulit ikan salmon disalut serbuk telur masin yang diberi nama Cik B Chips berjumlah RM100,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar permohonan maaf Datuk Seri Vida terhadap pemenang rancangan realiti Gegar Vaganza 4 itu yang perlu dibuat secara terbuka.

Dalam sidang akhbar tersebut, Datuk Seri Vida mempertikaikan perbuatan Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 54, yang bertindak tidak mengikut apa yang telah dipersetujui bersama ketika proses mediasi kes mereka di Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur Isnin lalu.

Katanya, beliau telah bersetuju dengan perbincangan itu agar Aishah memilih sendiri barangan kemas di sebuah kedai emas di Kuala Lumpur bagi menyelesaikan kes selain membayar kos guaman pihak Aishah.

Sumber: Kosmo Online