Anak Lelaki Sanggup Halau Ibu Sendiri Kerana Terlalu Percaya Cakap Bini

SYURGA di bawah tapak kaki ibu, tapi di mana syurganya apabila wanita yang melahirkan kita dianiaya dan dalam masa yang sama isteri dilebih-lebihkan?

Begitulah yang berlaku terhadap seorang wanita apabila dia mendakwa diherdik anak lelaki serta menantunya yang berasal dari Indonesia.

Video melibatkan wanita yang tidak diketahui identitinya itu menjadi tular setelah ia mula tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan Twitter.

Menerusi rakaman penuh emosi yang dimuat naik, wanita itu dilihat mengalirkan air mata saat mengimbas perlakuan anak dan menantunya.

“Dia (menantu) pukul la, akak tegur pasal pampers tepi pintu. Anak dah batuk, akak cakap buang la pampers tu, kan berkuman, budak jadi batuk. Tegur dengan baik, dia naik angin. Terus dia kata sampah kau lagi busuk.

“Lepas tu dia menjerit-jerit siap mengejek. Kita cakap dia taknak dengar langsung, dia buat bising. Jenis orang kata melampau la, orang tak betul, tak hormat orang tua.

“Menantu tak sedar diri. Kalau menantu, dia tahu berterima kasih. Bersyukur dengan tuhan, tak ada macam tu. Bahagian dada dia penyepak dua kali, tendang kuat-kuat sesungguh hati, tangan akak ditarik.

“Tangan akak sebelah pegang kain sebab akak berkemban. Dia telanjangkan akak dua kali. Dia buat akak memang macam bukan mak mentua dia, memang melampau,” dedah wanita itu yang dirakam oleh seorang wanita ketika dia sedang duduk bercerita di bahagian belakang sebuah kereta.

Lebih pilu, wanita itu mendakwa anak lelakinya turut memihak kepada wanita itu sehingga dia yang sakit langsung tidak dihiraukan.

Ujarnya, dia terpaksa memasak bubur dalam keadaan menggigil sebelum masuk ke dalam bilik untuk menikmati hidangan itu dengan kicap sahaja.

“Anak tak pernah memihak pada maknya. Sentiasa memihak pada bini dia, mana lagi akak nak mengadu. Anak balik maki-maki mak dia.

“Maki, halaukan akak keluar dari rumah. Selalu macam tu bukan sekali dua. Sedangkan bini dia datang dari mana dia muliakan sangat.

“Mak yang melahirkan dia, dari kecik dah besar panjang dapat bini lupakan jasa ibu, tak pedulikan mak,” katanya lagi dalam nada sebak.

Wanita itu dipercayai berada di sebuah kawasan hospital dan baru sahaja berjumpa dengan doktor.

Menurut wanita itu, dia dinasihatkan agar melakukan pemeriksaan di hospital besar dan membuat laporan polis bagi mencari keadilan atas apa yang berlaku kepada dirinya.

Paparan skrin perkongsian video itu di Facebook Raja Emas yang menerima lebih 2,000 perkongsian.

Tambahnya lagi, dia tidak menyangka anak yang dibesarkannya itu sanggup bertindak sedemikian rupa.

Malah, dia juga kecewa kerana mendakwa anaknya percaya bulat-bulat dengan cerita palsu yang disampaikan oleh menantunya itu.

“Cakap dengan anak pun tak ada faedah. Anak pun dah macam bukan anak kita. Melampau-lampau dimakinya mak, ditengking herdik maknya.

“Anak dah cakap macam tu, dia kata bila kau pukul lagi bini aku, aku pukul kau kaw-kaw.

“Padahal bini dia yang pukul mak dia. Dia kata maknya pukul bini. Bini dia tu pembohong penipu,” dakwa wanita itu.

Dalam pada itu, rata-rata pelayar laman sosial yang tersentuh dengan rakaman itu turut meluahkan rasa geram dengan apa yang berlaku.

Malah, ramai yang menyifatkan perbuatan lelaki itu dan isterinya sebagai anak derhaka dan turut mengharapkan agar wanita itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Sumber: Mstar Online