Alami Pendarahan Otak, Datuk A. Rahman Hassan Kini Kritikal

KUALA LUMPUR – Keadaan penyanyi popular era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan, 72, kini berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya terhadap mesin bantuan pernafasan.

Menurut anaknya yang juga seorang pelakon, Khir Rahman, bapanya baru selesai menjalani pemeriksaan kepala kali kedua dan doktor mendapati ada sedikit pendarahan yang berlaku.

“Doktor tidak menolak ada kemungkinan Abah mengalami serangan angin ahmar sehingga berlaku pendarahan di otaknya.

“Buat masa sekarang, kami sekeluarga memilih untuk meneruskan bantuan pernafasan kerana pilihan lain seperti pembedahan hanya memiliki satu peratus peluang untuk sembuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Terdahulu, A. Rahman dikejarkan ke Hospital Ampang selepas tidak sedarkan diri pada malam Isnin selepas pulang beraya bersama isteri, Datin Fadilah Mansor di Kepong

Sumber: Kosmo Online