Ajak Shiro Umum Berhenti Jadi DJ Hot FM

Pelawak Ajak Shiro mengumumkan dia tidak berhasrat untuk menyambung kontrak sebagai penyampai radio di stesen Hot FM yang akan tamat pada penghujung Februari depan.

Jelas Ajak, keputusan itu dibuat kerana ingin menumpukan perhatian kepada bidang lakonan sementelah dalam tempoh tiga tahun bergelar penyampai, dia langsung tidak berkesempatan untuk mengambil sebarang tawaran berlakon.

“Jadual kerja di stesen radio sangat padat, malah untuk hari hujung minggu pun kadang-kadang saya perlu mengikuti pelbagai program luar. Boleh dikatakan saya langsung tiada hari cuti.

“Saya akui sangat gembira bekerja di stesen radio tetapi sepanjang tiga tahun ini, ada perkara yang membuatkan saya sedikit kesal kerana tidak pernah berkesempatan menghantar anak-anak ke sekolah memandangkan waktu masuk bekerja adalah awal pagi.

“Jadi apabila tamat kontrak nanti, saya akan ambil masa untuk berehat seketika dan makan dengan lebih banyak sebab sekarang badan agak kurus. Selepas itu saya akan kembali fokus dengan dunia lakonan,” katanya ketika sidang media selepas kumpulan Shiro diangkat selaku juara Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM2018) malam tadi.

Sebelum ini, Ajak mula bergelar penyampai radio di stesen Hot FM pada 2016 dan mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk Sahar dan Fizie yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 hingga 10 pagi.

Sumber: Kosmo Online