Agong Pertama Letak Jawatan Dalam Sejarah Negara..

SHAH ALAM – Perletakan jawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 merupakan yang pertama berlaku dalam sejarah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Menurut pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, Majlis Raja-Raja bersidang dan menentukan pemilihan bagi jawatan tersebut dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu namun pada kebiasaannya ia dilakukan menerusi sistem penggiliran.

“Dalam sejarah hanya ada tiga sahaja Raja Melayu yang tidak dapat menyelesaikan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun kerana mangkat dan perletakan jawatan Sultan Muhammad V, hari ini.

Perletakan jawatan tersebut diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz yang memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa semalam.

Muhammad Fathi yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi (CFiRST) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, berdasarkan sistem penggiliran, jawatan tersebut sepatutnya akan diisi oleh negeri Pahang diikuti oleh Johor dan terakhir Perak.

“Majlis Raja-Raja akan bersidang dan akan menentukan negeri yang bakal Yang di-Pertuan Agong dan Raja yang pernah menjawat jawatan ini tidak boleh dilantik semula memegang jawatan hanya daripada Pahang, Johor dan Perak sahaja,” ujar beliau.

Jelas beliau, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kini perlu menggalas jawatan tersebut dan boleh memanggil Majlis Raja-Raja untuk bersidang bagi menentukan jawatan tersebut.

Sumber: Sinar Harian