Adik Afdlin Shauki Meninggal Dunia Selepas Tiga Hari Kritikal

ADIK kepada penghibur Datuk Afdlin Shauki Aksan iaitu Jefri Adzman Aksan telah pulang ke rahmatullah kira-kira jam 5.14 petang di sebuah hospital swasta hari ini.

Berita sedih itu telah dimaklumkan sendiri oleh Afdlin, 48, menerusi akaun Instagramnya sebentar tadi.

“Adik lelaki saya, Jefri Adzman Bin Aksan telah pulang ke rahmatullah pada hari ini, pukul 5.14 petang di Hospital Thomson Kota Damansara.

“Moga rohnya ditempatkan di kalangan roh-roh orang yang beriman.

“Pada yang mengenali adik saya, saya memohon maaf segala kesilapan beliau dan halalkan makan dan minum beliau. Jika adik saya ada berhutang dengan sesiapa, bolehlah sekiranya menghubungi saya,” tulisnya.

Afdlin juga turut meluahkan perasaannya kerana Jefri ‘pergi’ tidak sampai lapan bulan selepas ibunya iaitu Allahyarham Fadzilah Jelani meninggal dunia pertengahan Oktober tahun lalu.

“Sekarang adik dah boleh jaga mak, Insya Allah di jannah.

“Tak aci korang dah bersama.

“Ya Allah jagalah mereka, hindarkanlah seksa kubur, elakkan dari azab api neraka, elakkan dari fitnah sewaktu hidup dan selepas mati. Elakkan dari fitnah dajjal.

“Kejap sangat Allah pinjamkan kau dekat kami Jep… Yeop sayang kau Jep,” luahnya.

Jefri sebelum itu telah mengalami kemalangan berhampiran Petronas Kota Damansara.

Difahamkan ketika kejadian, arwah dalam perjalanan membeli sesuatu di stesen minyak berkenaan dengan menaiki sebuah vespa sebelum dilanggar oleh sebuah kereta.

Afdlin juga sebelum itu sempat meminta mana-mana saksi kemalangan untuk berkongsi rakaman video ketika kejadian berlaku.

Sumber: Sinar Harian