10 Ribu Rakyat Malaysia Mati Setiap Tahun Akibat Tabiat Merokok. Anda Mahu Jadi Statistik?

ADAKAH anda seorang perokok?

Sudahkah anda gunakan pita ukur untuk mengukur jarak dari kedai makan dengan kawasan yang dibolehkan merokok?

Adakah anda masih tidak bersetuju dengan peraturan larangan merokok yang diperluas ke lebih banyak kawasan dan tempat umum?

Jika ya, dan anda mahu meneruskan tabiat merokok tanpa sedikitpun menyedari akan kesannya pada diri sendiri, maka anda mungkin salah seorang yang boleh termasuk dalam statistik berikut.

Tahukah anda, statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa 10,000 rakyat Malaysia yang mati setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan secara langsung dengan tabiat merokok.

Sejumlah 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Tabiat ini boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit terutama penyakit kanser paru-paru, tekanan darah tinggi, strok, penyakit jantung dan mati pucuk.

Gejala ini bukan sahaja membawa kemudaratan kepada perokok tetapi ia juga memberi kesan kepada orang di sekeliling mereka disebabkan asap rokok sekunder.

Dan atas tujuan bagi melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok sekunder, penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di Malaysia dilaksanakan bermula 1 Januari 2019 oleh KKM.

Namun, terdapat sesetengah pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih membantah larangan ini.

Tujuh individu pada 31 Disember lalu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan.

Presiden Persatuan Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok (PHP), Mohd Hanizam Yunus berkata jika rokok bukan barangan larangan di Malaysia dan cukai tetap dikutip, perokok mempunyai hak untuk menyuarakan bantahan.

“Kerajaan pada tahun ini sahaja dijangkakan akan mengutip sebanyak RM6 bilion cukai daripada produk tembakau.

“Jadi ini bermakna kalau rokok ini bukan barangan larangan dan cukai dikutip, kami sebagai perokok mempunyai hak-hak yang tertentu juga,” kata Mohd Hanizam ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun, kerajaan bakal menanggung beban kos rawatan mencecah RM7.4 bilion pada 2025 jika kawalan tembakau tidak diperkukuhkan di negara ini.

Oleh itu, kepada perokok tegar ataupun mereka yang teringin hendak meletakkan sebatang rokok di bibir buat kali pertamanya, fikir-fikirkanlah semula.

Sumber: Astro Awani